Monday, July 12, 2010

HARI KELUARGA BKS DI PORT DICKSON

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam bermula pada 3 Julai dan berakhir pada 4 Julai lalu, dimulakan dengan perjalanan dari Wisma Sri Bentong tepat jam 10:00 pagi. 2 Buah bas disediakan kepada peserta yang mahu menaiki bas manakala peserta selebihnya memilih untuk memandu sendiri ke Port Dickson.


Setibanya kami di resort pada pukul 2:35 petang, kami check in. Pada sebelah petangnya pula, acara aktiviti bebas bersama dengan keluarga masing-masing. Dari situlah kami dapat mengenali keluarga antara satu sama lain. Kebanyakan dari kami banyak menghabiskan masa dengan beriadah di sekitar resort. Ada yang bersiar-siar dan ramai juga yang mengambil kesempatan melayan anak-anak mandi kolam.


Pada sebelah malamnya, satu majlis makan malam yang gilang-gemilang telah diadakan. Hadirin tiba pada pukul 7:45 malam dengan diiringi oleh muzik dan red carpet telah terbentang kepada hadirin untuk berjalan di situ sambil mengayakan pakaian masing-masing dengan gaya yang tersendiri.


Sebelum menjamu selera, majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan dari penyelaras program Encik Faizal Bin Jaafar diikuti sedikit ucapan daripada Pegawai Daerah YH Dato’ Toantowee Bin Mohd Lotfie selaku pengerusi BKS. Majlis diteruskan dengan jamuan makan malam sebelum disambung semula dengan pertandingan karaoke dan diselang-selikan dengan acara cabutan nombor bertuah. Antara peserta karaoke yang mengambil bahagian ialah Syahrul Subian, Syahrul Hafis, Asnida, Nasir, Ron Asreen, Mokhtar, Khalil Mazlan dan Mohamad. Hadirin turut disajikan dengan persembahan nyanyian oleh Encik Faizal Bin Jaafar di atas permintaan ramai warga BKS.


Para hadirin dikejutkan pula dengan anugerah peserta paling bergaya pada malam kemuncak majlis tersebut. Kategori lelaki dimenangi Encik Shahrul Hafis yang segak mengenakan sut serba putih dan diserikan dengan sekuntum bunga diselit di dadanya. Kategori wanita dimenangi Pn Noriani Ishak dengan anggun menggayakan persalinan serba hijau.


Pada sebelah paginya, acara sukaneka telah dijalankan. Antara acara yang dipertandingkan ialah lari dalam guni, lari ikat kaki, terompah gergasi, tiup belon sampai pecah, dan sebagainya. Dato DO tidak ketinggalan menyertai acara-acara yang dipertandingkan memeriahkan lagi acara sukaneka pada pagi itu. Acara paling gamat ialah acara tarik tali kerana pemain dan penyokong kumpulan begitu bersemangat dalam mendapatkan kemenangan bagi kumpulan mereka.


Selesai acara sukaneka, hadiah disampaikan kepada pemenang dan diadakan sesi bergambar beramai-ramai. Tamatlah acara program sepanjang 2 hari ini. Selepas makan tengahari, kami check out dan menuju kenderaan masing-masing untuk pulang ke Bentong.


Dipetik dari Coretan Hari Keluarga BKS PDT BENTONG - Buletin BKS Vol 1 - April, Mei, Jun 2010, Teks oleh IDA.